Masjib Quba'

 Masjid Quba’

3 KELEBIHAN ZIARAH DI MASJID QUBA.

Masjib quba'

Masjid Quba adalah masjid yang pertama di bina oleh Rasulullah SAW. Beliau tiba di perkampungan Quba pada hari Isnin, 8 Rabi’ul Awwal bersamaan 23 September 622 Masehi dalam perjalanan hijrah dari Makkah menuju ke  Madinah. Baginda SAW menginap selama 4 hari bersama Bani ‘Amru bin Auf di rumah Kalthum bin al-Hadm.

Pada hari pertama di situ, Rasulullah SAW terus membina masjid yang dinamakan Masjid Quba. Masjid QUBA adalah MASJID PERTAMA dibina dalam sejarah umat Islam. Baginda Rasul sendiri turut serta di dalam pembinaan Masjid Quba dengan mengangkat batu bata dan pasir-pasir bersama para sahabat.

Setelah itu, Rasulullah SAW mengimami solat berjemaah secara terbuka bersama para sahabat di Masjid Quba, berkiblatkan Masjidil Aqsa ketika itu. Masjid Quba merupakan masjid pertama yang imamkan oleh Rasulullah SAW yang menghadap ke Jurusalem, Palestin sehingga Allah SWT memerintahkan Rasul-NYA untuk bersolat ke arah Kaabah, Masjidl Haram, Makkah. 

MASJID Quba terletak di Perkampungan Quba lebih kurang 3 km ke selatan Bandar Madinah. Nama Quba diambil sempena nama sebuah TELAGA di tempat tersebut. Masjid Quba menerima banyak perhatian dari para pemimpin Islam yang memerintah. Zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab r.a, Masjid Quba dibina semula. Kemudian Khalifah Uthman bin Affan r.a menambahkan dan memindahkan kembali mihrabnya ke selatan.

Di zaman Umar bin Abdul Aziz menjadi Gabenor Madinah, beliau membinanya semula dengan menghias, memperindah dan memperluaskannya ke utara. Beliau juga membina sebuah menara untuk kali pertama ketika pembinaannya semula sehingga zaman Sultan Mahmud II pada tahun 1245 H dan zaman Sultan Abdul Majid.

Pada tahun 1388 H, Raja Faisal bin Abdul Aziz memerintahkan agar Masjid Quba dibina semula dengan menambahkan lagi di bahagian utara. Masjid Quba telah diubahsuai dan diperluaskan kembali pada pemerintahan Raja Fahd bin Abdul Aziz pada tahun 1986 dengan perbelanjaan RS 90 juta dan dapat menampung sehingga 20 ribu jemaah. Keluasannya sekarang adalah 13,500 meter persegi.

Masjid Quba berbentuk segi empat. Mempunyai 4 menara yang dibina di setiap empat penjuru masjid, 6 kubah besar dan 56 kubah kecil.  Manakala pintu masuk ruang solat lelaki ada 6 pintu dan 5 pintu untuk ke ruang solat wanita.  Di tengah-tengah Masjid Quba terdapat halaman terbuka yang ditutup dengan tenda atau khemah khas yang dioperasikan secara otomatik dengan kuasa elektrik.
Salah satu dari empat menara dan kubah Masjid Quba

3 KELEBIHAN MASJID QUBA

Firman Allah SWT berfirman dalam surah al-Taubah, ayat 108:

لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَىٰ مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ

Ertinya:
"Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin)".

Ayat di atas dimaksudkan untuk dua masjid yang dibina oleh Rasulullah SAW iaitu masjid Nabawi dan masjid Quba. Tidak bercanggah antara dua pendapat kerana Masjid Quba dan Masjid Nabawi dibina atas dasar takwa sejak hari pertama pembinaannya. Lagipun, kedua-dua masjid itu  itu dibina oleh Rasulullah SAW. Oleh yang demikian, ayat di atas adalah merujuk kepada kedua-dua masjid tersebut. 

Adapun rahsia Rasulullah SAW menghadkan sabdanya hanya kepada Masjid Nabawi sebagai masjid yang dibina atas dasar takwa adalah untuk mengelak kekeliruan pengkhususan Masjid Nabawi itu dengan Masjid Quba.

Meskipun demikian majid Quba memiliki kelebihan yang tersendiri.  Adapun Kelebihan masjid Quba adalah:

(1). Solat 2 rakaat di Masjid Quba Menyamai pahala seperti Mengerjakan Ibadah Umrah. Rasulullah SAW bersabda:

 قَالَ سَهْلُ بْنُ حُنَيْفٍ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ تَطَهَّرَ فِي بَيْتِهِ، ثُمَّ أَتَى مَسْجِدَ قُبَاءَ، فَصَلَّى فِيهِ صَلَاةً كَانَ لَهُ كَأَجْرِ عُمْرَةٍ.

Ertinya:
"Dari Sahl bin Hunaif bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa telah bersuci (mengambil wuduk) di rumahnya, dengan sebaik-baik wuduk, kemudian mendatangi Masjid Quba’ lalu solat di dalamnya dua rakaat, maka baginya sama dengan pahala umrah".
(HRs. Tirmidzi dan Ibn Majah).

(2). Rasulullah SAW Selalu Membiasakan Dirinya Menziarahi  Masjid Quba.

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْتِي مَسْجِدَ قُبَاءٍ كُلَّ سَبْتٍ مَاشِيًا وَرَاكِبًا. وَكَانَ عَبْدُ اللهِ بْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا يَفْعَلُهُ.

Ertinya:
“Daripada Abdullah bin Umar RA, bahawa Rasulullah SAW selalu ke Masjid Quba pada SETIAP HARI SABTU sama ada dengan menaiki unta atau berjalan kaki. Adakalanya Rasulullah SAW pergi pada hari ISNIN dan KHAMIS". (Bukhari dan Muslim).

(3). Kelebihan Solat di Masjid Quba Mengatasi Kelebihan Mengunjungi Baitul Muqaddis

Daripada Saad bin Abi Waqqas r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bersolat dua rakaat di Masjid Quba adalah lebih aku cintai dari aku mendatangi Baitul Muqaddis sebanyak dua kali. Jika orang tahu apakah yang terdapat pada Quba (dari segi kelebihan dan ganjarannya), pasti mereka akan datang dengan menunggang unta-unta mereka.” (HR. Abu Daud).

Wallahu A'lam.
 Ust Jo
Timbalan Pengerusi Masjid Tengku Tengah Zaharah
Imam Masjid Al Furqan
Pengurus Nun Travel & Tours
Previous Post Next Post